BAB 3 METODOLOGI KAJIAN

 

  • Pengenalan

 

Metodologi kajian merupakan kaedah dan teknik mereka-bentuk, mengumpul dan menganalisis data supaya dapat menghasilkan bukti yang boleh menyokong sesuatu kajian. Metodologi menerangkan cara sesuatu masalah yang dikaji dan sebab sesuatu kaedah dan teknik tertentu digunakan. Tujuan metodologi ialah untuk membantu memahami dengan lebih luas atau  lebih terperinci lagi tentang pengaplikasian kaedah dengan membuat huraian tentang proses kajian.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat metodologi membawa maksud sistem yang  merangkumi kaedah dan prinsip yang digunakan dalam sesuatu kegiatan atau disiplin. Maksud lain metodologi ialah kaedah, jalan, teknik, gaya, ragam, rentak, corak dan sistem. Metodologi juga bermaksud ilmu tentang metod atau disiplin yang digunakan semasa melakukan kajian tertentu untuk mencapai tujuan tertentu. Metodologi kajian adalah merujuk kepada kaedah yang paling sesuai untuk menjalankan penyelidikan dan menentukan tatacara yang efektif bagi menjawab permasalah kajian.

 

  • Kaedah Pengumpulan Data

 

Terdapat beberapa kaedah pengumpulan data yang akan digunakan oleh pengkaji bagi menjalankan kajian dialek ini berjalan dengan sistematik dan memenuhi objektif yang dikehendaki oleh pengkaji.

 

  • Kajian Perpustakaan

 

Kajian perpustakaan sangat penting bagi pengkaji mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan kajian yang akan dilakukan. Hasil dari kajian perpustakaan telah banyak membantu pengkaji dalam mencari bahan atau idea tentang aspek yang boleh dikaji oleh pengkaji. Pengkaji dapat meluaskan pengetahuan berkaitan dengan tajuk yang akan dikaji hasil dari kajian perpustakaan yang dilakukan.

Kajian perpustakaan banyak dimanfaatkan dalam menyiapkan bab satu dan dua iaitu bahagian yang melibatkan konsep-konsep yang sesuai digunakan dalam kajian yang akan dibuat dan bahagian kosa ilmu yang menerangkan soal kajian lepas yang telah dilakukan oleh pengkaji terdahulu. Penting bagi seseorang Pengkaji untuk mempunyai maklumat atau bahan yang berkaitan dengan kajiannya agar kajian yang dilakukan itu tidak menyerupai dengan kajian-kajian yang lalu. Hal ini juga penting kerana hasil dari kajian perpustakaan pengkaji akan dapat lebih memahami bagaimana sesuatu kajian itu dilakukan.

Dalam menjalankan kajian perpustakaan, pengkaji perlu bijak dalam memilih bahan yang boleh digunakan sebagai rujukan dalam kajian pengkaji. Hal ini penting kerana pemilihan bahan yang sesuai akan banyak membantu pengkaji dalam menyiapkan latihan ilmiah terutama dalam bab satu dan dua. Dalam pencarian bahan atau sumber rujukan yang sesuai, pengkaji perlu tahu apa yang akan dikaji atau apa yang akan diketengahkan dalam kajian pengkaji. Hal ini akan memudahkan pengkaji dalam mencari bahan atau sumber rujkan yang sesuai dengan kajian pengkaji.

Kajian perpustakaan yang dilakukan oleh pengkaji bukan hanya mencari buku-buku yang diperlukan di Perpustakaan Tun Seri Lanang dan Perpustakaan Pusat Linguistik Dan Bahasa  sahaja. Tetapi pengkaji juga turut memanfaatkan kemudahan terkini iaitu pengkaji juga mendapatkan bahan yang diperlukan melalui perpustakaan atas talian. Hal ini memudahkan pengkaji dalam mendapatkan artikel-artikel  dan membantu pengkaji mendapatkan bahan yang lebih banyak.

Di samping itu, kebanyakan artikel hanya boleh didapati dalam perpustakaan atas talian sahaja seperti Gema Online, Institutional Repository Of Universiti Kebangsaan Malaysia dan beberapa laman web lagi. Laman web yang sedemikian boleh dianggap sebagai perpustakaan atas talian. Dalam usaha mendapatkan lirik-lirik Lagu Jenaka Rakyat Kedah pula, pengkaji berusaha untuk mendapatkan lirik-lirik tersebut dari Perpustakaan Negeri dan juga dari kedai-kedai muzik serta cuba mendapatkan dari laman web atas talian.

 

  • Tinjauan Rintis

 

Tinjauan rintis dilakukan terutama terhadap lirik-lirik lagu yang telah diperoleh. Hal ini kerana pengkaji perlu memastikan bahawa lirik yang diperoleh itu benar-benar tepat seperti yang dinyanyikan oleh penyanyinya. Oleh itu, pengkaji akan mendengar semula lagu-lagu yang dipilih itu untuk meneliti agar lirik itu benar-benar tepat. Pengkaji perlu betul-betul peka ketika membuat tinjauan rintis terhadap lirik-lirik lagu yang diperoleh agar lirik yang diperoleh tepat seperti yang dinyanyikan oleh penyanyinya.

Di samping itu, pengkaji juga perlu mendengar semula lagu-lagu itu untuk memahami lirik-lirik Lagu Jenaka Rakyat Kedah kerana Lagu Jenaka Rakyat Kedah disampaikan dengan menggunakan dialek Kedah. Pengkaji perlu betul-betul faham setiap lirik-lirik Lagu Jenaka Rakyat Kedah supaya pengkaji tidak ada masalah untuk melakukan kaedah pengelasan kata dan untuk menganalisis setiap kata yang dalam lirik-lirik Lagu Jenaka Rakyat Kedah itu.

Sekiranya ada diantara lirik-lirik lagu yang tidak difahami oleh pengkaji, pengkaji akan merujuk masalah itu dengan penduduk kampung terutamanya golongan warga tua yang lebih arif dengan pengunaan dialek. Dengan bantuan penduduk kampung, pengkaji dapat memahami setiap lirik lagu yang tidak difahami. Hal ini akan memudahkan pengkaji dalam menganlisis setiap kata yang ada dalam lagu jenaka rakyat kedah. Setelah semua data iaitu lirik-lirik lagu telah lengkap, pengkaji akan meneruskan kajian dengan langkah seterusnya iaitu mengelaskan data mengikut aspek penggolongan kata dalam morfologi.

 

  • Kaedah Pengelasan Kata

 

Kaedah ini perlu digunakan dalam kajian ini kerana bersesuaian dengan objektif pengkaji yang pertama iaitu menyenaraikan golongan kata mengikut kategori. Dengan adanya kaedah pengelasan kata ini, objektif pengkaji yang pertama akan terlaksana. Setiap data yang ada perlu dikelaskan mengikut kategori masing-masing untuk memudahkan pengkaji dalam menganalisis data tersebut dengan lebih teratur dan sistematik. Penggunaan sistem berjadual dalam melaksanakan kaedah pengelasan kata sangat sesuai dan lebih teratur.

Dengan adanya kaedah pengelasan kata ini, pengkaji akan mengelaskan setiap data yang diperoleh mengikut kategori yang telah ditetapkan sendiri oleh pengkaji. Kesemua data akan dikelaskan kepada golongan kata terbuka yang utama sahaja iaitu golongan kata nama, kata kerja dan kata adjektif. Pengkaji akan meneliti dengan sebaik-baiknya setiap data atau lirik yang ada dalam setiap Lagu Jenaka Rakyat Kedah agar pengkaji dapat menentukan kelas kata yang betul bagi setiap lirik lagu tersebut. Dengan kaedah pengelasan kata ini, setiap data yang diperoleh akan disusun secara sistematik dan kemas. Hal ini akan memberikan kemudahan bagi pengkaji dalam menganalisis data dalam bab seterusnya.

 

  • Kaedah Analisis Data

 

Kaedah analisis data merupakan kaedah yang tidak asing dalam setiap kajian yang dilakukan. Dengan kaedah analisis data, hasil sesuatu kajian akan diperolehi.  Kaedah ini merupakan satu kaedah untuk mengawal dan mempersembahkan data yang diperoleh oleh pengkaji. Setiap analisis data dilakukan untuk mempersembahkan data kepada bentuk yang lebih bermakna. Cara data itu dipersembahkan menunjukkan bahawa pengkaji telah menganalisis data yang diperoleh dengan sistematik dan efisien. Data yang telah disusun rapi mengikut golongan seperti yang telah ditetapkan oleh pengkaji akan dianalisis dengan sistematik dan hasil dari analisis data akan dipaparkan dalam bentuk jadual, graf dan juga huraian.

 

  • Kesimpulan

 

Setiap kajian yang dilakukan mempunyai metodologi kajian yang tersendiri mengikut jenis kajian yang dilakukan. Selain itu, metodologi kajian yang digunakan mestilah bersesuaian dengan objektif tajuk latihan ilmiah. Ia merupakan satu perkara yang amat penting dalam melakukan sesuatu penyelidikan bagi mendapatkan maklumat yang sahih dan berkualiti. Dengan adanya metodologi kajian, kajian yang akan dilakukan akan lebih teratur dan akan mendapatkan hasil yang kajian yang lebih baik. Metodologi kajian juga boleh dianggap sebagai perancangan awal kearah mana sesuatu kajian itu akan dibawa sama ada kearah kejayaan atau sebaliknya.

Hasil yang akan diperoleh juga bergantung kepada pemilihan metodologi kajian. Setelah diteliti semua aspek yang berkaitan dengan tajuk kajian, maka pengkaji akan dapat menentukan atau memilih metodologi kajian yang sesuai dengan tajuk kajian. Selain itu, metodologi kajian merupakan cara bagaimana pengkaji mendapat maklumat, bahan, sumber rujukan dan data berkaitan dengan kajian. Dalam sesuatu kajian, bahan yang paling penting adalah data kajian. Tanpa data kajian bagaimana sesuatu kajian akan mendapatkan hasilnya. Oleh itu, data kajian yang dikaji dalam kajian yang dilakukan oleh pengkaji akan menghasilkan sebuah kajian berkaitan dengan Penggolongan Kata Lagu Jenaka Rakyat Kedah. Semua data kajian yang diperoleh akan dianalisis dan dibincangkan oleh pengkaji dalam bab seterusnya iaitu bab 4.